MENU

Pekasam daging jadi rebutan

6 Julai 2014

SIK - Pekasam sememangnya sinonim dengan masyarakat di negeri Kedah, dan ia mempunyai permintaan yang tinggi di negeri lain, malah ada yang turut dieksport ke luar negara.

Secara tradisinya pekasam dikaitkan dengan ikan air tawar tetapi kini pekasam daging dilihat mula menjadi satu perusahaan yang mampu meraih keuntungan lumayan.
    
Pengusaha pekasam daging dari Kampung Kota Aur, Jalan Empangan Muda Sik, Wan Mazenah Mohd Noor, 42, memulakan perusahaan membuat pekasam daging sejak setahun lalu dengan menggunakan daging lembu.
    
Pekasam daging yang diusahakan Wan Mazenah dijual RM5 setiap paket.
    
Beliau yang turut mengusahakan pekasam daripada ikan air tawar, berkata perusahaan membuat pekasam mampu menjadi satu perusahaan yang berjaya, jika dilakukan bersungguh-sungguh.
    
Beliau yang dibantu keluarganya membuat pekasam ikan dan daging untuk pasaran di daerah Sik dan sekitar daerah berdekatan mahu menjadikan pekasam daging yang diusahakannya sebagai satu produk pengeluaran daerah Sik yang terkenal.
    
"Saya berazam mahu jadikan produk pekasam daging sebagai buah tangan yang istimewa jika ada orang luar datang ke daerah ini untuk dibawa pulang," katanya kepada Bernama di sini.
    
Wan Mazenah yang mendapat bimbingan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) berharap akan dapat mengatasi masalah pembungkusan pekasam daging dan ikan dalam usaha untuk memasuki pasaran yang lebih jauh.
    
Beliau juga pernah membuat pekasam daripada daging kerbau, kijang dan rusa jika ada bekalan daging tersebut.
    
Sementara itu, Exco kerajaan negeri Kedah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Belantik, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah berkata, beliau akan berusaha menjadikan perusahaan pekasam daging Sik mendapat pasaran luar daerah dengan kerjasama Fama dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda).
    
"Pekasam daging yang diusahakan oleh penduduk Sik akan berada di kedai Selesa yang dikendalikan Keda di beberapa daerah termasuk di bandar Alor Setar tidak lama lagi," katanya. - Bernama