MENU

SIK 13 Jun - Kerajaan negeri berhasrat untuk menjadikan daerah ini sebagai lokasi tumpuan bagi sukan Muay Thai dan tinju berikutan sambutan memberangsangkan daripada penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah berkata, sukan yang menjadi pilihan anak muda itu mempunyai potensi untuk dibangunkan.

"Memandangkan golongan belia amat meminati sukan ini, maka kita mencadangkan supaya menjadikan Sik sebagai daerah sukan untuk Muay Thai dan tinju.

"Selain itu, cadangan juga turut dikemukakan kepada kerajaan supaya diadakan pusat akademi dan latihan untuk Muay Thai dan tinju," kata Mohd. Tajuddin ketika merasmikan Kejohanan Muay Thai Terbuka Negeri Kedah di Dewan Sekolah Kebangsaan Beris Jaya dekat sini semalam.

Beliau yakin jika terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan untuk sukan tersebut, daerah ini boleh menganjurkan pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC), Mohd. Hasri Mohd. Hadzir berharap daerah ini dijadikan sebagai acara tahunan untuk Muay Thai dan tinju.

"Latihan lebih lanjut perlu diadakan untuk peserta-peserta Muay Thai dan tinju kerana ramai golongan muda meminati sukan ini dan ramai juga berbakat.

"Kita boleh mengetengahkan mereka ini supaya boleh menjadi pemain yang profesional sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa," kata Mohd. Hasri.

Dalam pertandingan itu, seramai 16 pasangan bertanding bagi merebut kejuaraan Muay Thai Terbuka Negeri Kedah peringkat daerah Sik.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20140614/wu_02/Sik-daerah-Muay-Thai-tinju#ixzz37VPXJodL
© Utusan Melayu (M) Bhd