MENU

Program Rapat Rakyat yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Sik bakal diadakan pada 15 September 2019 bertempat di Kompleks Sukan Perdana, Majlis Daerah Sik. Berkonsepkan “Public Engagement”, Program Rapat Rakyat dapat mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat melaui acara – acara yang dianjurkan, serta mendekatkan hubungan antara pemimpin dengan rakyat.

Program Rapat Rakyat ini akan dirasmikan oleh YB Sr Tan Kok Yew, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Kedah Darulaman.

Selain itu, Program Rapat Rakyat juga menjadi platform pendedahan berkaitan gaya hidup, kesihatan, aktiviti sukan, motivasi diri dan pengawalan ekonomi setempat dari kalangan penduduk tempatan dalam pelbagai program di samping pelbagai peluang yang akan diberikan oleh pihak kerajaan kepada usahawan – usahawan muda tempatan dalam meningkatkan perkembangan perniagaan.

Program yang berlangsung  selama 7 hari ini akan dipenuhi dengan aktiviti – aktiviti sukan, kesedaran komuniti terhadap alam sekitar, Ceramah Majlis Ilmu, Keusahawanan, Motivasi Pelajar dan Anugerah Keceriaan Taman Terindah di dalam kawasan perkhidmatan PBT.

Selain aktiviti sukan dan motivasi pelajar, Program Rapat Rakyat juga menyediakan pelbagai pameran agensi kerajaan dan swasta serta jualan dari pelbagai kluster. Pameran dan jualan dari pelbagai kluster tersebut diketengahkan dengan kerjasama agensi – agensi perbadanan kerajaan bagi memperkenalkan halatuju Pembangunan Negeri dan PBT kepada rakyat setempat dan menerapkan dasar baru Kerajaan Negeri kepada rakyat serta memperkenalkan skop perkhidmatan dan aktiviti jabatan – jabatan kerajaan dan swasta kepada rakyat.

Majlis Daerah Sik menjemput semua penduduk seluruh Daerah Sik untuk datang beramai-ramai bagi memeriahkan lagi Program Rapat Rakyat yang dianjurkan oleh MDS dengan penglibatan dan kerjasama dari pelbagai agensi kerajaan di Daerah Sik.

Maklumat lanjut tentang kemuncak Program Rapat Rakyat adalah seperti berikut :

  • Tarikh : 15 September 2019
  • Masa  : 8:00 pagi – 4:00 petang
  • Tempat : Kompleks Sukan Perdana, Majlis Daerah Sik